Saturday 26 November 2016

RUU 355; PENJELASAN & HARAPAN


RUU 355; PENJELASAN & HARAPAN




Oleh

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Segala pujian bagi Allah. Selawat dan Salam buat Rasulullah.

1. Sebagaimana diumumkan oleh YAB Timb Perdana Menteri semalam, Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dijangka akan dijadualkan untuk dibahas di Dewan Rakyat pada hari Rabu 23 hb November atau Khamis 24 hb November 2016 setelah mana perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Bajet 2017 selesai semalam.

2. Ada beberapa Rang Undang-undang (RUU) yang dikemukakan oleh Kerajaan perlu didahulukan untuk dibahas sebagaimana peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Antara RUU yang telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat ialah RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan (pindaan 2016), RUU Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (pindaan 2016) dan RUU Lambang dan Nama.

3. RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang di Dewan Rakyat adalah bertujuan meminda kadar hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri agar menurut undang-undang Syariah.

4. Usul ini akan membuka ruang untuk 3 kesalahan jenayah syariah dihukum berdasarkan undang-undang Syariat iaitu bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin sebanyak 100 sebatan syarie, Qazaf sebanyak 80 sebatan syarie dan minum minuman memabukkan sebanyak 40 sehingga 80 sebatan syarie berdasarkan khilaf antara mazhab fiqh.

5. Ketiga-tiga kesalahan tersebut telah sedia dibicarakan di Mahkamah Syariah pada hari ini tetapi had hukumannya terhad kepada Akta 355 yang menetapkan had maksima 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan.

6. Menurut Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Disemak 1988), bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada kesalahan syariah adalah terhad kepada tiga tahun penjara atau denda lima ribu ringgit atau enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

7. Teks Akta tersebut adalah seperti berikut:

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

HURAIAN RUU 355 oleh YB Marang

RUU 355 yang dikemukakan oleh YB Marang mengandungi beberapa poin utama yang perlu difahami iaitu:

PERTAMA

Ia melibatkan cadangan pindaan “bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah”  dalam menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah melibatkan orang Islam sahaja.

KEDUA

Ia melibatkan jenayah syariah yang dilakukan oleh orang Islam sahaja yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ia tidak melibatkan bukan Islam kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan hanyalah terhad kepada orang Islam.

KETIGA

Ia melibatkan kesalahan jenayah yang hari ini telah pun dibicarakan di Mahkamah Syariah menurut Enakmen Kesalahan Jenayah negeri masing-masing.

Kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah tertakluk kepada kuasa yang ada pada Negeri-negeri dalam Persekutuan menurut Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Butiran itu menyatakan bahawa antara bidang kuasa Negeri ialah “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.

Berdasarkan Butiran 1 ini, negeri-negeri telah memperkenalkan Enakmen Kesalahan Jenayah masing-masing yang menyenaraikan kesalahan-kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Sebagai contoh, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyenaraikan kesalahan jenayah berikut:

pemujaan salah, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir, doktrin palsu, dakwaan palsu, mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith, menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar tanpa tauliah, mengingkari perintah Mahkamah, penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara', berjudi, Minuman Yang Memabukkan, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah,  perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, Persetubuhan luar nikah, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, Qazaf, Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa dan penyalahgunaan tanda halal.

http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/bca11b8ae3c9251148257057000ca118?OpenDocument

Senarai kesalahan yang sama boleh dilihat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah negeri-negeri lain.

KEEMPAT

Semua senarai kesalahan jenayah di atas disenaraikan dalam Islam sebagai jenayah Ta’zir yang diberikan hak kepada pemerintah untuk berijtihad menentukan hukuman yang boleh dijatuhkan kecuali tiga kesalahan iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf.

Ketiga-tiga kesalahan jenayah ini telah ditetapkan oleh Islam hukumannya ialah masing-masing 100 sebatan syarie bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin, 80 sebatan syarie bagi kesalahan Qazaf dan 40 sebatan syarie (hingga 80 sebatan menurut sebahagian mazhab) bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

KELIMA

Akta 355 yang sedia ada sekarang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan di atas terhad kepada 3 tahun penjara atau lima ribu ringgit denda atau enam kali sebatan.

Ia merangkumi juga 3 kesalahan jenayah yang telah ditetapkan oleh Syarak kadar hukumannya iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf.

KEENAM

Cadangan pindaan Akta 355 yang dicadangkan menerusi RUU 355 akan membolehkan 3 kesalahan jenayah iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syariah menurut Syariat Islam iaitu:

A. 100 sebatan syarie bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin

B. 80 sebatan syarie bagi kesalahan Qazaf.

C. 40 sebatan syarie (hingga 80 sebatan menurut sebahagian mazhab) bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

KETUJUH

Cadangan pindaan Akta 355 yang dicadangkan menerusi RUU 355 oleh YB Marang tidak melibatkan kesalahan jenayah mencuri dan merompak kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Mahkamah Sivil.

KELAPAN

Setelah dibawa Usul RUU 355 ke Dewan Rakyat atas nama Usul Ahli Persendirian oleh YB Marang untuk Bacaan Pertama, menurut peraturan Dewan Rakyat pihak Kerajaan pula akan mengambil tanggungjawab membawa Usul tersebut sebagai Usul Kerajaan untuk proses seterusnya di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

PENUTUP

Saya menyeru seluruh umat Islam dan Ahli-Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam bersama-sama menjayakan RUU 355 ini sebagai satu usaha memperkasakan  hukuman di Mahkamah Syariah yang menjadi hak rakyat muslim di negara ini.

Sekian
Rabu 23 November 2016; 8.30 pagi

www.drtakiri.blogspot.com                        ⁠⁠⁠⁠

0 ulasan: