Monday 12 December 2016

#ARTIKEL BERSIRI SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438 H ; TAJUK : INDAHNYA AKHLAK RASULLULAH S.A.W DALAM DAKWAH

#ARTIKEL BERSIRI SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438 H
TAJUK : INDAHNYA AKHLAK RASULLULAH S.A.W DALAM DAKWAH
OLEH : LAJNAH PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN, MPKSY 2016/2017



Muhammad S.A.W nama seorang insan agung yang diresapi keimanan yang teguh dan ketinggian akhlak yang terindah dalam jiwa. Seorang jejaka kekasih Sang Pencipta yang menjadi qudwah hasanah manusia sepanjang zaman. Seorang lelaki yang menjadi pencetus perubahan umat manusia yang sedang pekat dengan kegelapan jahiliyyah ketika itu kepada cahaya yang bersinar sepanjang tamadun ummat. Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Fath:8-9,

Sesungguhnya kami mengutus kamu (Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)-Nya, membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang”

Keunggulan akhlak Baginda yang luhur yang disegani dan dihormati oleh pengikut Baginda mahu pun musuh penentang dakwah Baginda sejak zaman - berzaman sehingga hari kiamat. Menjadi inspirasi buat seluruh ummat manusia sebagai “role model” sepanjang saat kehidupan manusia. Seperti dalam sebuah hadis Rasullulah S.A.W : “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia”.

Kecemerlangan dan kejayaan besar dakwah Rasullulah pada zaman Baginda menyebarkan Islam sudah pasti sarat dengan ketekunan, optimis dan berstrategi selama 23 tahun semasa hayat Baginda iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di bumi Madinah. Ketekunan, optimis dan strategi dalam dakwah ini menghasilkan perubahan masa depan ummat yang dipimpin oleh Baginda. Dakwah merupakan sunnah paling besar Baginda Rasullullah S.A.W dan merupakan jalan yang ditempuh oleh para Rasul dan Nabi terdahulu. Allah S.W.T berfiman yang bermaksud : “Katakanlah: “inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan bukti yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik” (Surah Yusuf : 108).

Kehebatan dan keindahan akhlak insan agung sepanjang sejarah kehidupan manusia ini dan juga merupakan pembawa rahmat untuk sekalian makluk seluruh alam. Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud : “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. Keindahan akhlak Baginda dalam dakwah telah membuktikan kejayaan yang besar dalam perjuangan Baginda dalam usaha menyebarkan Islam pada 1400 tahun yang lalu. Aset akhlak agung ini lah merupakan salah satu sunnah Baginda yang penting buat umat Islam demi kelangsungan dakwah di muka bumi dan juga memastikan kelestarian kesejahteraan hidup mampu dikecapi oleh setiap manusia sepanjang kehidupan di muka bumi disamping menjadi bekalan untuk turut sejahtera di akhirat kelak. Antara keindahan akhlak Rasullulah yang boleh menjadi inspirasi buat para perjuang agama Allah ialah :

1.      Sentiasa memelihara diri daripada fitnah atau sifat tercela yang boleh menghilangkan thiqah (kepercayaan) orang sekeliling.
Ketinggian akhlak Baginda yang disegani dan dihormati oleh masyarakat arab sejak sekian lama sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul lagi menjadikan dakwah Rasullulah S.A.W bertambah kuat dan mudah mendapat dokongan beberapa golongan yang terawal memeluk Islam ketika itu antaranya Saidina Abu Bakar, Bilal Bin Rabah, Sumayyah, dan sahabat-sahabat Baginda yang lain. Malah. Rasullulah S.A.W merupakan orang yang sangat dipercayai dan dikenal dengan sikap amanah dikalangan masyarakat arab ketika itu. Sebagai contohnya ada orang arab yang ingin bermusafir ke bumi Syam dalam jangka masa yang panjang untuk berniaga maka mereka memberikan kepercayaan kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk menyimpan barang-barang berharga atau harta mereka sebelum berangkat ke Syam. Malah, pada suatu ketika kabilah-kabilah arab saling bertelingkahan untuk memindahkan Hajarul Aswad, Nabi Muhammad S.A.W diamanahkan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah tersebut. Maka Rasulullah S.A.W dengan sifat kebijaksanaannya membuat keputusan untuk para kabilah mengangkat Hajarul Aswad tersebut dengan mengunakan kain dan para kabilah tadi mengangkat dengan cara memegang setiap bucu kain yang ditengahnya diletakkan Hajarul Aswad. Akhirnya semua kabilah arab tadi berpuas hati dengan cara yang dilakukan Rasullulah S.A.W itu. Hal ini membuktikan thiqah yang tinggi masyarakat arab ketika itu kepada Rasullullah S.A.W.

Allah telah memilih seorang manusia terpecaya untuk mengembangkan risalah-Nya. Sang manusia terpilih itu menjalani seluruh hidupnya dalam atmosfera amanah tersebut. “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasullulah S.A.W itu suri teladan yang baik bagimu iaitu orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah”. (Al-Ahzab : 21)

Persoalannya sekarang adakah diri kita yang mengaku penerus perjuang agama Allah ini sentiasa menjaga thiqah diri kita daripada orang sekeliling dengan sebaik mungkin? Adakah orang disekeliling kita sentiasa memandang baik kepada kita? Adakah kita orang yang dianggap seorang yang amanah dan menjadi tempat orang sekeliling kita percaya untuk diamanahkan sesuatu? Kalau tidak, mana mungkin kita mampu menjadi seorang perjuang agama yang mampu mengubah masa depan ummat. Muhasabah. Sama-sama kita perbaiki diri. WaAllahua’alam.


Nantikan sambungan……………

0 ulasan: