Saturday 17 December 2016

#ARTIKEL SIRI 2 SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438 H TAJUK : INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM DAKWAH


#Artikel Siri 2 Sempena Maulidur Rasul 1438 H
Tajuk : Indahnya Akhlak Rasulullah S.A.W Dalam Dakwah
Disediakan Oleh : Lajnah Penyelidikan Dan Pembangunan, MPKSY 2016/2017


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Segala pujian bagi Allah yang memelihara langit dan bumi berserta segala isinya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W Penghulu segala Nabi dan pembawa rahmat buat sekian alam.

Tempoh hari kita telah berbincangkan dalam artikel bersiri ini secara tuntas tentang akhlak Sang Rasul Penghulu segala Nabi, Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi contoh teladan ummat sepanjang tamadun ummat ini. Mengfokuskan tentang topik Nabi Muhammad S.A.W adalah insan yang sentiasa dipelihara dan memelihara diri daripada lubang-lubang fitnah yang boleh menjerumuskan diri kepada keburukan diri dan menjauhi diri daripada segala sikap tercela yang boleh menjejaskan thiqah diri (kepercayaan) masyarakat sekeliling.

Jauh sebelum mendapat wahyu kenabian, Nabi Muhammad sudah dikenali sebagai seorang berperibadi yang memberi impak besar kepada masyarakat Makkah. Salah satu buktinya adalah gelaran Al-Amin (orang yang dipercayai) yang disematkan oleh masyarakat yang mengenali Baginda. Ini lah salah satu nilai kualiti diri yang semestinya dijaga dengan rapi oleh setiap penolong-penolong agama Allah.

“Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka mereka (Bani Israil) berkatalah dia : “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?” Para hawariyyin (sahabat-sahabat setia) menjawab; “Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri” ( al-Imran : 52)

Keindahan kelembutan Rasulullah S.A.W dalam Dakwah sebagai kekuatan kecintaan Ummat

Keindahan kelembutan Rasulullah S.A.W dalam Dakwah sebagai kekuatan kecintaan Ummat. Ini lah ‘point’ kedua yang akan dibincangkan dalam artikel kali ini. Rasulullah s.a.w terkenal dengan sikap lemah lembutnya dalam menyampaikan dan memberikan kefahaman tentang keindahan Islam kepada semua golongan masyarakat sama ada dalam melayani sahabat-sahabat Baginda ataupun layanan yang diberikan kepada orang-orang yang membenci perjuangan Baginda. Bukan sahaja sikap indah ini diaplikasikan dalam proses Baginda menyampaian dakwah malah setiap pergaulan sosial Baginda dalam kehidupan juga disulami dengan perlakuan dan tutur bicara yang lemah lembut belaka. Sikap ini lah menjadikan semua orang disekeliling Baginda jatuh cinta kepada susuk tubuh yang mulia ini.

Firman Allah S.W.T ;
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (An-Nahl : 125)

Tutur bicara Rasulullah S.A.W kepada semua orang sangat teliti dan berhati-hati. Baginda tidak pernah bertutur kata yang boleh melukakan hati dan perasaan orang lain. Apabila ada orang yang bercakap kepada Baginda, Baginda akan menoleh muka kepada orang yang bercakap dan fokus apa yang dibicarakan kepada Baginda S.A.W. Bicara Rasulullah S.A.W yang lemah lembut membuatkan semua orang menyukai bait-bait tutur kata Baginda. Setiap perkataan yang dilucurkan melalui mulut Baginda membuatkan semua orang selesa mendengarnya. Malah kata-kata Baginda yang sarat dengan kalimah-kalimah Sang pencipta membuatkan setiap pesanan dan ingatan Baginda difahami dengan baik oleh semua orang. Kata-kata ketika Rasulullah s.a.w marah dalam mempertahankan kesucian Islam juga disulami dengan kata-kata yang indah. Hebat bukan akhlak Rasulullah S.A.W ? “Terlajak perahu boleh diundur, telajak kata tak mungkin berpatah balik”, inilah peribahasa signifikan mengapa Rasulullah amat menjaga setiap bait-bait kata apabila berbicara.

Begitu juga dengan setiap perilaku dan tindakan Baginda juga dihiasi dengan kelembutan yang tiada tolak bandingnya. Sama ada dalam keadaan yang kritikal seperti ketika dalam peperangan ataupun dalam kehidupan seharian. Kisah seorang Arab Badwi, yang datang daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Abu Hurairah berkata, “Seorang Arab badwi berdiri dan kencing di Masjid, lalu orang-orang ingin mengusirnya. Maka Nabi S.A.W pun bersabda kepada mereka ; “Biarkanlah dia dan siramlah bekas kencingnya dengan setimba air, sesungguhnya kalian diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk membuat kesulitan” (Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Lihatlah kelembutan Baginda Nabi S.A.W tetap membiarkan Arab Badwi tersebut menyelesaikan hajatnya, kemudian barulah Baginda menyuruh para sahabat S.A.W untuk membersihkan bekas air kencingnya. Kelembutan Nabi S.A.W bukan tanpa alasan jika Baginda membiarkan orang-orang mengusirnya maka boleh jadi air kencing akan lebih banyak menyebar di lantai Masjid dan Nabi memberikan keuzuran kepada Arab Badwi tadi kerana tidak tahu. Selain itu, agama ini datang dengan berbagai kemudahan dan bukan kesulitan.

Tabiat manusawi tidak ada yang pernah selesa dan menginginkan kekerasan. Bahkan orang yang berdakwah dengan cara yang kasar juga tidak mahu  diri sendiri diperlakukan dengan dengan cara yang kasar  untuk dirinya. Maka hendaknya seseorang mendakwah saudara-saudaranya dengan penuh kelembutan sebagaimana dirinya selesa diperlakukan dengan lemah lembut. Rasulullah S.A.W bersabda : “ Hendaknya ia memberi kepada orang lain apa yang ia suka untuk diberikan kepadanya” (Riwayat Muslim)

Praktikal daripada hadis ini, jika seseorang ingin berdakwah maka sepatutnya ia membayangkan bahawa dirinya yang akan menjadi objek dakwah. Tentunya ia akan senang jika mendapatkan nasihat dengan cara yang santun dan penuh kelembutan. Maka berdakwah lah dengan kelembutan. Syeikh Abdul Aziz bin Baz mengatakan : “ Zaman ini adalah  zaman yang perlukan kelembutan, kesabaran dan hikmah. Bukan masanya kekerasan sebab kebanyakkan manusia berada dalam kebodohan, dalam kelalaian, lebih banyak pentingkan kehidupan dunia. Maka diharuskan untuk banyak bersabar dan berlemah lembut sehingga dakwah boleh tersebar dan sampai kepada manusia supaya mereka mengerti. Mudah-mudahan Allah memberikan Hidayah kepada semua”

WaAllahua’alam.

0 ulasan: