Tuesday 20 December 2016

Dakwah dan Watak, QURRATU’AINI ‘AMMARAH, UTEM

KARYA ILMIAH VERSATILE SAHABAT YADIM SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438H
TEMA : INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM DAKWAH

QURRATU’AINI ‘AMMARAH BINTI MOHD YUSOF
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEM)


TAJUK : DAKWAH & WATAK

“Dakwah yang sebenar kepada Islam adalah watak seorang muslim”. Pernah dengar ayat tersebut? Ayat yang kelihatan marhaen tapi sangat kuat jika diaplikasi dalam dakwah Islamiyah. Jika di sekolah kita ada guru yang menunjukkan atau mengajar kita, kita ada ustazah yang mengajar kita tentang Islam yang mungkin ibu bapa tidak sempat ajar di rumah. Begitu juga konsepnya dakwah dan pendakwah. Pendakwah umpama seorang guru yang membawa dakwah Islamiyah itu, yang menunjukkan kepada orang bukan Islam atau orang Islam sendiri mengenai Islam yang sesuai dengan definisi perkataan ‘Islam’, iaitu selamat. Akhlak yang ditekankan di dalam Islam itu sangat indah dan selamat daripada pelbagai sudut dan mempamerkan Islam yang sebenar. Oleh itu, dalam berdakwah dan sebagai seorang muslim sangat penting untuk kita berpewatakan baik dan mengamalkan akhlak-akhlak Islam. Sebenarnya bukan semasa berdakwah sahaja, tapi dalam kehidupan seharian kita, kerana mengamalkan akhlak Islamiyah juga merupakan dakwah. Tak percaya? Seperti kisah salah satu “Syammail Muhammadiah” iaitu kesempurnaan Muhammad SAW dari segi akhlak yang telah dapat menarik seorang pendeta yahudi memeluk Islam.

Sedang Rasulullah SAW duduk bersama para sahabat, datang seorang pendeta Yahudi bernama Zaid bin Sa'nah, lalu menarik baju Rasul dengan keras seraya berkata kasar, "Bayar hutangmu, wahai Muhammad, sesungguhnya keturunan Bani Hasyim adalah orang-orang yang selalu mengulur-ulur pembayaran hutang”. Umar bin Khattab RA yang tidak dapat menahan ammarahnya langsung berdiri dan menghunus pedangnya kepada pendeta tersebut. "Wahai Rasulullah, izinkan aku menebas batang lehernya." Namun, Rasulullah SAW berkata, "Bukan berperilaku kasar seperti itu aku menyerumu. Perintahkan kepadanya agar menagih hutang dengan sopan dan anjurkan kepadaku agar membayar hutang dengan baik”. Tiba-tiba pendeta Yahudi berkata, "Demi Allah yang telah mengutusmu dengan hak, aku datang kepadamu bukan untuk menagih hutang. Aku datang sengaja untuk menguji akhlakmu. Aku telah membaca sifat-sifatmu dalam Kitab Taurat. Semua sifat kenabian itu telah terbukti dalam dirimu, kecuali satu yang belum aku cuba, iaitu sikap lembut saat marah. Dan aku baru membuktikannya sekarang. Oleh sebab itu, aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah dan sesungguhnya engkau wahai Muhammad adalah utusan Allah. Adapun piutang yang ada padamu, aku sedekahkan untuk orang Muslim yang miskin."


Terbukti sudah kan? Bahawa watak atau akhlak yang baik, akhlak Islamiyah adalah dakwah yang sebenar kepada Islam. Memang kita tidak punya kesempurnaan akhlak seperti Rasulullah, tetapi kita boleh berusaha mengamalkannya sebaik dan sehabis mungkin demi menyebarkan syiar Islam. In Sha Allah. Wallahualam.

0 ulasan: