Tuesday 20 December 2016

Indahnya Akhlak Rasulullah S.A.W Dalam Dakwah,Nurul Syazwanie Nordin, UiTM Melaka

KARYA ILMIAH VERSATILE SAHABAT YADIM SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438H
TEMA : INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM DAKWAH


NURUL SYAZWANIE NORDIN
UITM MELAKA

TAJUK : INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH SAW DALAM DAKWAH.

Allahummasolli ala Sayyidina Muhammad.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharap (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”  Surah Al Ahzab : 21

Siapa nak cinta akan Nabi kena tahu sirah Nabi, kena kenal akhlak Nabi. Akhlak yang persis apa Rasulullah tunjukkan dalam dakwah?

 Nabi Muhammad SAW ini orang yang lembut bicaranya. Nabi nak sampaikan dakwah kepada penduduk Mekah dan Madinah adalah dengan cara yang berhikmah. Cara yang paling sesuai dengan mad’u kita. Sama seakan apa yang Allah SWT nyatakan dalam surah An Nahl : 125

            Bagaimana Nabi memujuk hati tatkala sebilangan penduduk Makkah, orang kafir Quraisy, penduduk Thaif menolak secara terang dakwah Nabi? Biar pun baginda masih bersedih hati dengan kehilangan akar akar yang menguatkan dahan dakwah baginda, Abu Talib dan isteri kesayangannya Sayyidina Khadijah.Tahun itu dikenal “Aamul Huzni” (Tahun Dukacita). Baginda tetap memilih untuk bersabar dan mendoakan. Allah SWT telah berfirman “Sesungguhnya Kami jadikan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar dan penat.” Surah Al Balad : 4.Bahkan Allah SWT menenangkan hati yang dalam perjuangan dengan firmanNya “Bersabarlah untuk Tuhanmu.” QS Al Muddaththir : 7

            Seringkali kita dengar  “Aslihnafsak wad’ughairak” (perbaik diri ajak orang lain). Dalam rancak kita mengejar soleh solehah, jangan lupa pegang tangan saudara kita untuk kita pimpin bersama. Dan hakikatnya kita memimpin dan dipimpin. Dalam meniti jalan juang ini, kita perlu memulakan dahulu. Persis yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam gerak kerja penggalian parit dalam perang Khandaq. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari melalui al-Barra’, beliau bercerita :

            “Saya melihat Rasulullah SAW dalam peristiwa Khandaq sedang mengangkut tanah sampai tanah itu menutupi bulu dada Baginda.”

            Rasulullah baik akhlaknya terhadap mad’u walau telah diangkat oleh Allah sebagai KekasihNya. Baginda telah membebaskan penduduk Makkah tanpa apa apa tindakan walaupun detik perit dulu menyaksikan kekasaran dan kezaliman penduduk Makkah terhadap Baginda. MasyaAllah tabarakallah. Mulia benar hati Nabi kita, Muhammad SAW.Sabda Nabi:

            “Barangsiapa yang memaafkan, Allah tambah kemuliaan.” (HR Muslim)

Sesungguhnya kata Umar Al Khattab, Allah telah mulia kan kita dengan Islam. Andai kita memilih selain Islam, maka hinalah kita. Semoga hati kita ini sentiasa cinta akan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW hingga akhirnya. Semoge kita sentiasa mengenggam istiqomah. Fastaqim!



0 ulasan: