Tuesday 3 January 2017

Perutusan Kalam Timbalan Presiden MPKSY Sempena Tahun Baru 2017



[Perutusan Kalam Timbalan Presiden MPKSY Sempena Tahun Baru 2017]

Oleh : Saudara  Muhammad Danial Bin Muhammad Anuar,
[Timbalan Presiden Majlis Pimpinan Kebangsaan Sahabat Yadim] (MPKSY)
3 Januari 2017

"Tajdid Niat, Perteguh Amal, Perkukuh Peribadi, Ukhuwah Islami"

Alhamdulillah Rabbal'Alamin Wassolatu Wassalammu Ala Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin Wa Ala Alihi Wasohbihi Ajmain.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan nikmat usia dan nikmat nafas untuk kita terus beribadah dan menuju keredhaan alam 2017.

Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW, qudwah hasanah buat seluruh Umat.

Mewakili Majlis Pimpinan Kebangsaan Sahabat Yadim(MPKSY) sesi 2016/2017, saya mengucapkan "Kullu Am Wa Antum Bil khair " atau Selamat Tahun Baru 2017 buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya teman-teman seperjuangan keluarga besar Sahabat Yadim yang melibatkan Majlis Pimpinan Universiti dan Majlis Pimpinan Negeri seterusnya Ahli yang aktif beraktivisme dalam Sahabat Yadim.

"Ayuh tajdid niat, perteguh amal,perkukuh peribadi,ukhuwah islami"

Tahun 2016, kita telah lalui dengan azam dan cita-cita yang menginspirasikan. Kini Sanatul Jadid atau tahun baru 2017 ini sedang mengalukan kehadiran kita bersama.

Kehidupan kini kian mencabar dengan kita berhadapan dengan kenaikan sara hidup, dengan suasana politik yang semakin celaru dan mengelirukan, krisis ekonomi yang semakin menekan, dan peluang pekerjaan yang semakin sukar dan terhad

Wahai teman seperjuanganku,

 Masalah sosial hari ini seringkali melanda di kalangan golongan muda seiring pembangunan semasa yang kian mencabar lagi penuh dinamis membuatkan anak muda terlibat dalam kancah yang negatif,

Kegiatan kancah negatif yang melibatkan remaja bawah umur yang berumur antara 12 hingga 17 tahun meningkat kira-kira 47 peratus di seluruh negara dan ada daripada mereka terlibat dengan kes bunuh dan juga rogol. (Kosmo: 2 Oktober 2014).

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Hassanuddin Hassan, statistik gejala sosial dalam kalangan remaja di Selangor pada tahun 2014 menyaksikan 795 kes dicatatkan membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda seperti bunuh, rompak, samun dan rogol. Manakala, pada tahun 2015, sebanyak 1,811 kes direkodkan dengan tangkapan 2,361 orang. Walaupun berlaku penurunan, isu ini perlu diambil peduli oleh masyarakat. (Kosmo: 19 Jun 2016)

Tanggungjawab siapa yang perlu turun dan berdamping bersama adik-adik remaja ini?

Siapa nak didik dan bantu menjaga adik-adik yang tersimpang jauh ini?

Siapa?siapa?dan siapa?

Wahai teman seperjuanganku,

Bukan sahaja isu moral yang dibicarakan.

Isu agama juga hari ini sering dimainkan di media massa.

Kerana apa isu ini terbangkit?

Kerana apa isu ini hangat diperkatakan?

 Kerana kurangnya penglibatan anak muda yang cintakan majlis ilmu,

Kerana kurangnya penglibatan anak muda bertebaran di lapangan,

Kerana kurangnya anak muda cintakan biah dakwah yang sepatutnya mekar syumul di daulah ini tetapi tidak,

Wahai teman-teman yang cintakan perubahan,

Sesungguhnya,menangani perubahan adalah sesuatu yang agak kompleks. Dalam tradisi pengurusan Barat, ia diistilahkan sebagai managing change manakala dalam tradisi Islam ia diungkap sebagai Fiqh taghyir.

Tentunya pengalaman ini telah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW selaku model unggul kita.

Juga oleh tokoh-tokoh yang lain pernah memperjuangkan perubahan seperti Jamaludin al Afghani dan Malek Bennabi dalam tradisi Islam, Martin Luther King dan Abraham Lincoln dalam tradisi Barat, Mandela dan Omar Mokhtar dalam pengalaman di Afrika, Mahatma Gandhi, Sun Yat Sen, Jose Rizal dan Burhanuddin al Helmi di Asia. Kesemua ini sewajarnya ditekuni oleh para pejuang yang cintakan perubahan.

Perubahan yang dicita-citakan bukan sekadar hanya difikirkan,tetapi harus hadir dari ketukan dan kesedaran dhamir.

 Perubahan (Islah) mesti dimakna dan disuburkan dalam manifestasi kehidupan seharian. Perubahan (Islah) yang dihasratkan menghala ke arah kebaikan yang memberikan erti bermakna buat diri dan ummat.

Teman-teman yang berjiwa ummatik,

Hati terasa amat sedih melihat penderitaan Umat Islam terutama di Rohigya dan Syria. Kita harus cakna dengan perkembangan yang berlaku di sana dengan mendapatkan sumber dan informasi yang sahih. Isu kemanusiaan ini merentas faham agama, politik dan ideologi. Justeru, kita mesti perjuangkan secara kolektif dan memberikan sumbangan yang terbaik mengikut keupayaan masing-masing.

Apapun isu-isu yang melingkari, janganlah sesekali kita lupakan mereka kerana diuji dengan penderitaan yang dahsyat saban hari. Mari sama-sama kita terus menerus bermunajat dan berdoa demi keselamatan Umat Islam khususnya di Rohigya dan Syria. Tidak dilupakan saudara-saudara seagama di Palestin, Selatan Thailand dan lain-lain.

Teman-teman yang tsabit dalam perjuangan,

 Tidak lupa untuk doing akan bahawa Gerbang Pra Siswa(GPS)2017 bakal memulakan gelombang di setiap negeri bermula bulan Januari ini. Persiapan sedang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, dititipkan doa semoga dipermudahkan segalanya. Sebanyak 14 buah negeri akan menjayakan gelombang GPS kali ini. Ayuh sama-sama kita jayakan agenda penting ini sebagai platform mendedahkan bakal mahasiswa akan suasana dan cabaran di alam kampus. Juga sebagai mempersiapkan kader-kader dakwah dan mahasiswa bitara yang akan berjasa kepada Ummat.

Wahai teman yang ku kasihi,

 Ayuh kita suburkan nyalarasa perjuangan dan sematkan optimisme mengharungi mehnah perjuangan dan tribulasi mendatang. Teruskan perjuangan dan sahutlah bersama seruan Ilahi.

Sebagaimana Allah berfirman dalam (Surah al Taubah ayat 41):

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. "

Jadi teman yang ku kasihi,

 Teruskan berjuang menyubur mekar flora dakwah yang telah  disemaikan oleh para pejuang terdahulu,

Jangan biarkan bumi tumpahnya darah pejuang anbiya terdahulu HARI INI dicemari TERUS dengan agenda kristianisasi,liberalisasi dan sekularisasi yang semakin kuat menyerang senyap ummat hari ini.

Teruskanlah bersama meYADIMisasi teman seperjuangan kita yang lain dengan nilai ukhuwah dan kasih sayang.

Mudah-mudahan,Allah redha dan berkati kita semua dalam meniti jalan ke alam syurga.

"Bertebarlah Kita Demi Khoirun Ummah"


Yang ingin diTARBIYAH,

Muhammad Danial Bin Muhammad Anuar,
[Timbalan Presiden Majlis Pimpinan Kebangsaan Sahabat Yadim] (MPKSY)

0 ulasan: