Thursday 2 February 2017

YADIM sambut baik Wawasan TN50 – Bentuk generasi berjiwa pendakwah





H: YADIM sambut baik Wawasan TN50 – Bentuk generasi berjiwa pendakwah
 
Majlis Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  pada 20 Januari lalu di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) telah pun melakar sejarahnya yang tersendiri. TN50 yang menjadi kesi­nambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu adalah visi rakyat kerana masa depan negara adalah milik generasi muda hari ini.
 
Isu ini mendapat reaksi positif dari beberapa pemimpin yang ditemubual oleh Wartawan Menara.My yang menyambut baik Wawasan TN50 ini sebagai aspirasi generasi muda hari ini tentang bagaimana mereka mahu melihat Malaysia dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Ikuti temubual Wartawan Menara.My (WMM) bersama Pengurus Eksekutif  Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  Zamani Mohd Karulani (ZMK).
WMM- Adakah YADIM berminat untuk menyertai Wawasan 2050 (TN50) untuk memperkasakan negara melalui konsep dakwah?
 
ZMK - Sudah pasti YADIM amat berminat untuk menyertai Wawasan 2050 (TN50) yang membuka ruang dan peluang kepada kita untuk memperkasa Negara melalui konsep dakwah sekaligus bertepatan dengan Visi kita untuk menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah selain meneruskan kesinambungan misi penubuhan YADIM sendiri semenjak 1974 bagi melaksana dan menyelaras aktiviti dakwah merentasi idealogi dan metodologi.
 
Wawasan TN50 adalah untuk golongan muda khususnya yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Negara pada masa akan datang. Kita mahu melihat generasi pengganti ini memiliki kemahiran dan keupayaan dari segi kepimpinan, idealisme Islam serta berjiwa pendakwah bagi memartabatkan dan mengukuhkan Islam di Negara ini.
 
Minggu lalu Sahabat YADIM juga turut berkesempatan menyertai diskusi yang diadakan dan dilihat mendapat sambutan yang cukup hebat dari belia khususnya.
 
WMM - Apakah perancangan yang telah dan akan YADIM laksanakan dalam merealisasikan program ini bersama Felo Muda Dakwah dan juga Sahabat YADIM?
 
ZMK - Saranan ini amat bertepatan dengan apa yang YADIM sedang dan akan lakukan untuk  pengukuhan jati diri generasi pelapis negara. Bagi merealisasikan fungsinya sebagai badan penyelaras, YADIM telah merancang dan telah pun melaksanakan beberapa siri persidangan, simposium, muktamar, seminar, syarahan, mesyuarat dan muzakarah termasuk menerbitkan majalah-majalah, buku-buku dan bahan terbitan lain dan usaha ini akan terus dipergiatkan pada masa akan datang.
Setakad ini  sebanyak 30 buah cawangan Sahabat YADIM telah ditubuhkan di hampir ke semua Intitut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta  termasuk, Kolej Matrikulasi, Politeknik dan terbaru ke Sekolah Berasrama Penuh.
 
Katanya, sasaran YADIM ialah golongan belia seawal umur 20 an yang masih mudah dibentuk jatidiri, mental dan fizikal mereka.
 
Bagaimanapun proses pemantapan dan pembelajaran serta usaha dakwah ini sudah tentu akan mengambil masa dan berterusan 20 ke 30 tahun lagi bagi melihat satu kumpulan pemimpin dan pemikir yang bijak pandai dari pelbagai bidang ilmu dapat dibentuk sepenuhnya dengan teguh dan kukuh.
 
Usaha mewujudkan peneraju ini meliputi ke semua bidang kerjaya termasuk Politik, Kedoktoran, Kejuruteraan, Keusahawanan, Media, Sektor Awam dan Swasta yang bukan sahaja  berkebolehan menjalankan dakwah Islamiah bahkan  menguruskan pentadbiran termasuk usaha-usaha kebajikan bagi kemakmuran di seluruh negara.
 
Selain itu, YADIM turut berperanan menyokong persatuan, institusi dan badan lain yang mempunyai tujuan dakwah dan memberi nasihat mengenai kegiatan persatuan, institusi dan badan lain supaya mencapai tujuan yang maksima.
 
Sehingga kini pun YADIM terus giat menjalankan program bagi pembangunan generasi muda  yang mempunyai Idealisme Islam berserta jiwa pendakwah.
 
Usaha ini merangkumi keterlibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pelajar, belia, badan badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, badan-badan dakwah, gerakan dakwah sukarela dan lain-lain.
 
Segala aktiviti ini acapkali dibantu oleh tenaga pengajar kehormat yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari pusat pengajian tinggi, pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan agama, aktivis dakwah dari badan-badan sukarela dan badan bukan kerajaan.
 
Sudah tentu kita mahu melihat negara ini menjadi sebuah negara membangun dengan daulah Islamiah. 
 
Bagaimanapun usaha  dan impian ini tidak akan berjaya sepenuhnya jika penyatuan dan kesefahaman dari semua pihak tidak dapat dibentuk dan disatukan dari akar umbi,”katanya.

0 ulasan: