Thursday 7 June 2018


NIAT DAN KEPENTINGAN DAKWAH

            Islam adalah al-Din al-Samawi yang terakhir muncul selepas agama-agama lain yang sebelumnya. Agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w bersifat universal dan syumul sesuai pada setiap tempat dan zaman. Allah s.w.t telah menurunkan agama kebenaran iaitu Islam kepada Rasulullah s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat Islam dan menyempurnakan segala risalah yang telah disampaikan, seperti dalam firman Alah s.w.t yang bermaksud “ Wahai Rasul Allah, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah al-Maidah 5 : 67)

            Niat dalam diri seorang pendakwah itu sangat penting kerana perintah ini bukan semata-mata untuk meneruskan kewujudan dan kemakmuran agama Islam tetapi adalah lebih kepada konsep ibadat iaitu taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. Bagi mereka yang mentaati dan melaksanakan perintah ini, Allah telah menjanjikan ganjaran yang tinggi nilainya.

            Kesimpulannya, menurut al-Maududi (1982 : 11-12), perasaan kehambaan kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya perlu dijadikan sebagai titik tolak ataupun objektif utama bagi kegiatan dakwah kerana perkara yang paling indah dan mulia disisi Allah adalah mentaati perintah Allah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan dengan mewujudkan perasaan kehambaan yang mutlak (Mohd Amin 2007 : 12).


 Kepentingan dakwah antaranya adalah bertujuan mengajak manusia menuju kepada kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup dengan cara menghindarkan diri dari kekufuran dan mendekatkan diri kepada keimanan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaaNya, (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (Surah al- Maidah 5 : 16)

            Apabila dilihat dari sudut masyarakat Malaysia yang mempunyai berbilang agama dan kaum, tujuan dakwah ini amat penting untuk menjana kepada keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Umat Islam diperintah supaya sentiasa berlaku baik dan toleransi terhadap golongan yang tidak sealiran dan tidak seagama. Rasulullah s.a.w sendiri telah melaksanakan perintah ini dengan sentiasa berbaik-baik dengan Ahli Kitab dengan cara berziarah, bersedekah serta mengamalkan sikap memberi dan menerima (Al- Qaradawi 1985 : 48).

            Tetapi perlu diingat toleransi Islam tidak boleh dianggap sebagai toleransi dalam akidah dan syariah. Islam juga tidak memberi ruang kepada sebarang bentuk toleransi keagamaan dan kepercayaan dengan ajaran Islam, hanya sekadar dalam hubungan kemanusiaan semata-mata (Mohd Amin 2007 : 25).

            Untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia, para ulama’ dan pendakwah perlu menanamkan nilai-nilai murni dalam diri umat Islam supaya menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat bukan Islam yang lainnya. Dengan sikap berbaik-baik antara satu sama lain, secara tidak langsung akan memberi nama baik kepada Islam sebagai agama pembawa rahmat dan mampu memimpin manusia kearah kebaikan, kebenaran, keadilan dan kesejahtera.

0 ulasan: