Thursday, 7 June 2018

Kejatuhan Turki Uthmaniyah: Berakhirnya Kegemilangan Khilafah Islam

Tulisan : Muhammad Danial

Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni.

Namun selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam empayar Turki Uthmaniyah. Malang yang menimpa ini adalah hasil dari kelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah  membawa kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.

 Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika.

Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Antara faktor kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan.

1.Faktor politik

Perkara utama yang menyebabkan empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.

Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan(pemimpin), baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya.

Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah.

 Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang menurun.

Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai oleh anggota atau kelompok tertentu dalam istana. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2.Ekonomi

Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan.

Hal ini dibuktikan melalui jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara.

 Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Perdagangan yang lemah menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang semakin maju dalam bidang perdagangan.

Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke-16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki.

Selain itu, kemunduran dalam ekonomi Tuki adalah akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti. Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

3.Sosial

Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan gejala rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah.

 Pemberontakan merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata.

 Keadaan dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak Druze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang Austria, Poland dan Safavi.

 Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah menyerap dalam kalangan pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi lumpuh disebabkan pemimpin yang tamak haloba.

Hal ini dapat dibuktikan apabila Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut.

Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan. Oleh itu, rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar.

Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan para dayang yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki Uthmaniyah.

 4.Pengaruh Luar

Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku.

 Gerakan-gerakan renaissance  melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.

Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar bagi Turki Uthmaniyah.

Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah.

Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Kesan Terhadap Negara-Negara Islam

Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.

Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan.

Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila kejatuhan Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik menyebabkan institusi khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada suasana politik negara Islam.

 Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan Kesultanan Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan dalam sistem politik Turki.

Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara Iran di bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja, sama dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.

Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah. Kelemahan Turki menyebabkan negara di bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah.

 Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan, Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan perpecahan negara umat Islam.

Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi Hijaz. Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa Turki. Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara Islam yang lain.

Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai ekonomi negara Islam.

Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham.

 Selain itu, penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah perniagaan asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara Islam telah melemahkan ekonomi negara Islam.

Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki telah menjadi ikutan negara Islam yang lain.

Kebudayaan Barat ini telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang membawa kepada perpecahan umat Islam.

Penutup

Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada kebangkitan Eropah.

 Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik.

Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan keseniaan. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan sehingga rakyat golongan yang mementingkan hiburan dan keseronakkan.

 Oleh itu, sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula institusi Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.

Rujukan

Fadhlullah Jamil, 2007, Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakkkan, Shah Alam, Karisma Publications Sdn. Bhd.

Hamka, 1977, Sejarah Umat Islam, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara.

Marshall G.S Hodgson, 2004, Kebangkitan Islam, Gambaran & Sejarah Dalam Tamadun Dunia Edisi Empayar Sebuk Letupan dan Zaman Moden, Jilid III, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

0 ulasan: