NIAT
DAN KEPENTINGAN DAKWAH
Islam
adalah al-Din al-Samawi yang terakhir muncul selepas agama-agama lain yang
sebelumnya. Agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar
Nabi Muhammad s.a.w bersifat universal dan syumul sesuai pada setiap tempat dan
zaman. Allah s.w.t telah menurunkan agama kebenaran iaitu Islam kepada
Rasulullah s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat Islam dan menyempurnakan
segala risalah yang telah disampaikan, seperti dalam firman Alah s.w.t yang
bermaksud “ Wahai Rasul Allah, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu
dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya),
maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah akan
memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah al-Maidah 5 : 67)
Niat
dalam diri seorang pendakwah itu sangat penting kerana perintah ini bukan
semata-mata untuk meneruskan kewujudan dan kemakmuran agama Islam tetapi adalah
lebih kepada konsep ibadat iaitu taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t.
Bagi mereka yang mentaati dan melaksanakan perintah ini, Allah telah
menjanjikan ganjaran yang tinggi nilainya.
Kesimpulannya,
menurut al-Maududi (1982 : 11-12), perasaan kehambaan kepada Allah s.w.t dengan
mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya perlu dijadikan
sebagai titik tolak ataupun objektif utama bagi kegiatan dakwah kerana perkara
yang paling indah dan mulia disisi Allah adalah mentaati perintah Allah dengan
penuh kerelaan dan keikhlasan dengan mewujudkan perasaan kehambaan yang mutlak (Mohd
Amin 2007 : 12).
Kepentingan
dakwah antaranya adalah bertujuan mengajak manusia menuju kepada kesejahteraan
dan kebahagiaan dalam hidup dengan cara menghindarkan diri dari kekufuran dan
mendekatkan diri kepada keimanan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Dengan
(Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan
kepada sesiapa yang mengikut keredhaaNya, (dengannya) Tuhan keluarkan mereka
dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan
izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
(Surah al- Maidah 5 : 16)
Apabila
dilihat dari sudut masyarakat Malaysia yang mempunyai berbilang agama dan kaum,
tujuan dakwah ini amat penting untuk menjana kepada keamanan dan kesejahteraan
masyarakat dan negara. Umat Islam diperintah supaya sentiasa berlaku baik dan
toleransi terhadap golongan yang tidak sealiran dan tidak seagama. Rasulullah
s.a.w sendiri telah melaksanakan perintah ini dengan sentiasa berbaik-baik
dengan Ahli Kitab dengan cara berziarah, bersedekah serta mengamalkan sikap
memberi dan menerima (Al- Qaradawi 1985 : 48).
Tetapi
perlu diingat toleransi Islam tidak boleh dianggap sebagai toleransi dalam
akidah dan syariah. Islam juga tidak memberi ruang kepada sebarang bentuk
toleransi keagamaan dan kepercayaan dengan ajaran Islam, hanya sekadar dalam
hubungan kemanusiaan semata-mata (Mohd Amin 2007 : 25).
Untuk
mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia, para ulama’
dan pendakwah perlu menanamkan nilai-nilai murni dalam diri umat Islam supaya
menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat bukan Islam yang lainnya. Dengan
sikap berbaik-baik antara satu sama lain, secara tidak langsung akan memberi
nama baik kepada Islam sebagai agama pembawa rahmat dan mampu memimpin manusia kearah
kebaikan, kebenaran, keadilan dan kesejahtera.
0 ulasan:
Post a Comment