#ARTIKEL
BERSIRI SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438 H
TAJUK
: INDAHNYA AKHLAK RASULLULAH S.A.W DALAM DAKWAH
OLEH
: LAJNAH PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN, MPKSY 2016/2017
Muhammad S.A.W nama seorang insan agung
yang diresapi keimanan yang teguh dan ketinggian akhlak yang terindah dalam
jiwa. Seorang jejaka kekasih Sang Pencipta yang menjadi qudwah hasanah manusia
sepanjang zaman. Seorang lelaki yang menjadi pencetus perubahan umat manusia
yang sedang pekat dengan kegelapan jahiliyyah ketika itu kepada cahaya yang
bersinar sepanjang tamadun ummat. Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah
Al-Fath:8-9,
“Sesungguhnya
kami mengutus kamu (Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi
peringatan. Supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan
(agama)-Nya, membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang”
Keunggulan akhlak Baginda yang luhur
yang disegani dan dihormati oleh pengikut Baginda mahu pun musuh penentang
dakwah Baginda sejak zaman - berzaman sehingga hari kiamat. Menjadi inspirasi
buat seluruh ummat manusia sebagai “role
model” sepanjang saat kehidupan manusia. Seperti dalam sebuah hadis
Rasullulah S.A.W : “Aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak manusia”.
Kecemerlangan dan kejayaan besar dakwah
Rasullulah pada zaman Baginda menyebarkan Islam sudah pasti sarat dengan
ketekunan, optimis dan berstrategi selama 23 tahun semasa hayat Baginda iaitu
13 tahun di Mekah dan 10 tahun di bumi Madinah. Ketekunan, optimis dan strategi
dalam dakwah ini menghasilkan perubahan masa depan ummat yang dipimpin oleh
Baginda. Dakwah merupakan sunnah paling besar Baginda Rasullullah S.A.W dan
merupakan jalan yang ditempuh oleh para Rasul dan Nabi terdahulu. Allah S.W.T
berfiman yang bermaksud : “Katakanlah:
“inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu)
kepada Allah dengan bukti yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk
orang-orang yang musyrik” (Surah Yusuf : 108).
Kehebatan dan keindahan akhlak insan
agung sepanjang sejarah kehidupan manusia ini dan juga merupakan pembawa rahmat
untuk sekalian makluk seluruh alam. Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam surah
Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud : “Dan
tidaklah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta
alam”. Keindahan akhlak Baginda dalam dakwah telah membuktikan kejayaan
yang besar dalam perjuangan Baginda dalam usaha menyebarkan Islam pada 1400
tahun yang lalu. Aset akhlak agung ini lah merupakan salah satu sunnah Baginda
yang penting buat umat Islam demi kelangsungan dakwah di muka bumi dan juga
memastikan kelestarian kesejahteraan hidup mampu dikecapi oleh setiap manusia
sepanjang kehidupan di muka bumi disamping menjadi bekalan untuk turut
sejahtera di akhirat kelak. Antara keindahan akhlak Rasullulah yang boleh
menjadi inspirasi buat para perjuang agama Allah ialah :
1.
Sentiasa
memelihara diri daripada fitnah atau sifat tercela yang boleh menghilangkan thiqah (kepercayaan) orang sekeliling.
Ketinggian akhlak Baginda yang disegani dan
dihormati oleh masyarakat arab sejak sekian lama sebelum Baginda dilantik
menjadi Rasul lagi menjadikan dakwah Rasullulah S.A.W bertambah kuat dan mudah
mendapat dokongan beberapa golongan yang terawal memeluk Islam ketika itu
antaranya Saidina Abu Bakar, Bilal Bin Rabah, Sumayyah, dan sahabat-sahabat
Baginda yang lain. Malah. Rasullulah S.A.W merupakan orang yang sangat
dipercayai dan dikenal dengan sikap amanah dikalangan masyarakat arab ketika
itu. Sebagai contohnya ada orang arab yang ingin bermusafir ke bumi Syam dalam
jangka masa yang panjang untuk berniaga maka mereka memberikan kepercayaan
kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk menyimpan barang-barang berharga atau harta
mereka sebelum berangkat ke Syam. Malah, pada suatu ketika kabilah-kabilah arab
saling bertelingkahan untuk memindahkan Hajarul Aswad, Nabi Muhammad S.A.W
diamanahkan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah tersebut. Maka
Rasulullah S.A.W dengan sifat kebijaksanaannya membuat keputusan untuk para
kabilah mengangkat Hajarul Aswad tersebut dengan mengunakan kain dan para
kabilah tadi mengangkat dengan cara memegang setiap bucu kain yang ditengahnya
diletakkan Hajarul Aswad. Akhirnya semua kabilah arab tadi berpuas hati dengan
cara yang dilakukan Rasullulah S.A.W itu. Hal ini membuktikan thiqah yang tinggi masyarakat arab
ketika itu kepada Rasullullah S.A.W.
Allah telah memilih seorang manusia
terpecaya untuk mengembangkan risalah-Nya. Sang manusia terpilih itu menjalani
seluruh hidupnya dalam atmosfera amanah tersebut. “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasullulah S.A.W itu suri teladan
yang baik bagimu iaitu orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari
kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah”. (Al-Ahzab : 21)
Persoalannya sekarang adakah diri kita
yang mengaku penerus perjuang agama Allah ini sentiasa menjaga thiqah diri kita daripada orang sekeliling dengan sebaik mungkin?
Adakah orang disekeliling kita sentiasa memandang baik kepada kita? Adakah kita
orang yang dianggap seorang yang amanah dan menjadi tempat orang sekeliling kita
percaya untuk diamanahkan sesuatu? Kalau tidak, mana mungkin kita mampu menjadi
seorang perjuang agama yang mampu mengubah masa depan ummat. Muhasabah. Sama-sama kita perbaiki diri. WaAllahua’alam.
Nantikan sambungan……………
0 ulasan:
Post a Comment