KARYA
ILMIAH VERSATILE SAHABAT YADIM SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438H
TEMA
: INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM DAKWAH
QURRATU’AINI ‘AMMARAH BINTI MOHD YUSOF
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA
(UTEM)
“Dakwah yang sebenar kepada Islam
adalah watak seorang muslim”. Pernah dengar ayat tersebut? Ayat yang kelihatan
marhaen tapi sangat kuat jika diaplikasi dalam dakwah Islamiyah. Jika di sekolah kita ada guru
yang menunjukkan atau mengajar kita, kita ada ustazah yang mengajar kita
tentang Islam yang mungkin ibu bapa tidak sempat ajar di rumah. Begitu juga konsepnya
dakwah dan pendakwah. Pendakwah umpama seorang guru yang membawa dakwah
Islamiyah itu, yang menunjukkan kepada orang bukan Islam atau orang Islam
sendiri mengenai Islam yang sesuai dengan definisi perkataan ‘Islam’, iaitu selamat.
Akhlak yang ditekankan di dalam Islam itu sangat indah dan selamat daripada
pelbagai sudut dan mempamerkan Islam yang sebenar. Oleh itu, dalam berdakwah
dan sebagai seorang muslim sangat penting untuk kita berpewatakan baik dan
mengamalkan akhlak-akhlak Islam. Sebenarnya bukan semasa berdakwah sahaja, tapi
dalam kehidupan seharian kita, kerana mengamalkan akhlak Islamiyah juga
merupakan dakwah. Tak percaya? Seperti kisah salah satu “Syammail Muhammadiah”
iaitu kesempurnaan Muhammad SAW dari segi akhlak yang telah dapat menarik
seorang pendeta yahudi memeluk Islam.
Sedang Rasulullah SAW duduk
bersama para sahabat, datang seorang pendeta Yahudi bernama Zaid bin Sa'nah,
lalu menarik baju Rasul dengan keras seraya berkata kasar, "Bayar
hutangmu, wahai Muhammad, sesungguhnya keturunan Bani Hasyim adalah orang-orang
yang selalu mengulur-ulur pembayaran hutang”. Umar bin Khattab RA yang tidak
dapat menahan ammarahnya langsung berdiri dan menghunus pedangnya kepada
pendeta tersebut. "Wahai Rasulullah, izinkan aku menebas batang lehernya."
Namun, Rasulullah SAW berkata, "Bukan berperilaku kasar seperti itu aku
menyerumu. Perintahkan kepadanya agar menagih hutang dengan sopan dan anjurkan
kepadaku agar membayar hutang dengan baik”. Tiba-tiba pendeta Yahudi berkata,
"Demi Allah yang telah mengutusmu dengan hak, aku datang kepadamu bukan
untuk menagih hutang. Aku datang sengaja untuk menguji akhlakmu. Aku telah
membaca sifat-sifatmu dalam Kitab Taurat. Semua sifat kenabian itu telah
terbukti dalam dirimu, kecuali satu yang belum aku cuba, iaitu sikap lembut
saat marah. Dan aku baru membuktikannya sekarang. Oleh sebab itu, aku bersaksi
tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah dan sesungguhnya engkau wahai
Muhammad adalah utusan Allah. Adapun piutang yang ada padamu, aku sedekahkan untuk
orang Muslim yang miskin."
Terbukti sudah kan? Bahawa watak
atau akhlak yang baik, akhlak Islamiyah adalah dakwah yang sebenar kepada
Islam. Memang kita tidak punya kesempurnaan akhlak seperti Rasulullah, tetapi
kita boleh berusaha mengamalkannya sebaik dan sehabis mungkin demi menyebarkan
syiar Islam. In Sha Allah. Wallahualam.
0 ulasan:
Post a Comment